Thursday, July 2, 2009

Kisah Kaisara @ TV9!


Kisah Kaisara kembali lagi menemui anda untuk musim ke-3, eksklusif di TV9! Siapa yang tak kenal dengan Kaisara, gadis sekolah menengah yang comel bertudung yang sentiasa dikelilingi teman-teman baiknya yang mempunyai pelbagai kerenah lucu. Kaisara ni aktif, bijak, dan yang paling penting, sentiasa berfikiran POSITIF dalam menangani masalah bersama rakan-rakan karibnya. Drama bersiri ni memfokuskan kehidupan gadis ramaja yang terjebak dalam percintaan serta pergaulan yang boleh mencetuskan konflik.

Tahniah kita ucapkan kepada Ace Motion Pictures dan PIC Media Sdn Bhd kerana atas kerjasama mereka Kisah Kaisara telah berjaya mendapat tempat di hati penonton-penonton rancangan bergenre seperti ini; berselitkan liku-liku alam remaja. Kehadiran pelakon-pelakon hebat dan berbakat seperti Sari Yanti, Wan Sharmila dan Elliza, serta diserikan dengan keluarga baru seperti Catriona Ross, Ayu Shuhada dan Shahril pasti membangkitkan lagi suasana ceria seperti musim-musim terdahulu.

Sebahagian barisan pelakon yang menjayakan Kisah Kaisara musim ke-3


Nak tahu apa yang menarik tentang musim ni?

Kalau di musim lalu, Hasnor, bapa Kaisara dah pun berkahwin dengan Marlia, dan Kaisara kini tinggal bersama Seri, ibu kandunganya yang meninggalkannya sejak kecil. Namun, Kaisara yang sedikit sebanyak merasa kekok dengan kehidupan barunya itu harus membiasakan diri dengan ibunya. Setelah seketika, Kaisara mulai merasa selesa bersama ibunya. Pada masa yang sama, timbul keinginan di hati remajanya yang menginjak dewasa untuk bercinta seperti gadis-gadis lain. Justeru, ibunya banyak memberi nasihat kepada anak gadisnya dalam mengharungi kehidupan remaja.

Tanpa disangka-sangka, kedatangan pelajar baru yang tampan bernama Shahrin di kelas Kaisara telah menimbulkan pelbagai konflik dan kejadian lucu. Hana dan Amy yang ternyata menaruh minat pada Shahrin bersaing sesama sendiri hingga membawa padah kepada mereka berdua. Namun, disebabkan sikap Kaisara yang tenang dan matang dalam banyak perkara, lama kelamaan, Shahrin mula menyukainya dan mereka berdua semakin akrab. Keadaan ini pastinya menimbulkan rasa tidak puas hati Amy, Hana dan Dania yang pada awalnya beria-ia cuba menarik perhatian Shahrin.

Haa...bagaimana agaknya kesudahan Kisah Kaisara kali ini? Kalau nak tahu, pastikan korang semua set 'remote', pastikan ianya TV9, setiap Rabu 9.30 malam!


No comments: