Thursday, July 2, 2009

Kisah Kaisara @ TV9!


Kisah Kaisara kembali lagi menemui anda untuk musim ke-3, eksklusif di TV9! Siapa yang tak kenal dengan Kaisara, gadis sekolah menengah yang comel bertudung yang sentiasa dikelilingi teman-teman baiknya yang mempunyai pelbagai kerenah lucu. Kaisara ni aktif, bijak, dan yang paling penting, sentiasa berfikiran POSITIF dalam menangani masalah bersama rakan-rakan karibnya. Drama bersiri ni memfokuskan kehidupan gadis ramaja yang terjebak dalam percintaan serta pergaulan yang boleh mencetuskan konflik.

Tahniah kita ucapkan kepada Ace Motion Pictures dan PIC Media Sdn Bhd kerana atas kerjasama mereka Kisah Kaisara telah berjaya mendapat tempat di hati penonton-penonton rancangan bergenre seperti ini; berselitkan liku-liku alam remaja. Kehadiran pelakon-pelakon hebat dan berbakat seperti Sari Yanti, Wan Sharmila dan Elliza, serta diserikan dengan keluarga baru seperti Catriona Ross, Ayu Shuhada dan Shahril pasti membangkitkan lagi suasana ceria seperti musim-musim terdahulu.

Sebahagian barisan pelakon yang menjayakan Kisah Kaisara musim ke-3


Nak tahu apa yang menarik tentang musim ni?

Kalau di musim lalu, Hasnor, bapa Kaisara dah pun berkahwin dengan Marlia, dan Kaisara kini tinggal bersama Seri, ibu kandunganya yang meninggalkannya sejak kecil. Namun, Kaisara yang sedikit sebanyak merasa kekok dengan kehidupan barunya itu harus membiasakan diri dengan ibunya. Setelah seketika, Kaisara mulai merasa selesa bersama ibunya. Pada masa yang sama, timbul keinginan di hati remajanya yang menginjak dewasa untuk bercinta seperti gadis-gadis lain. Justeru, ibunya banyak memberi nasihat kepada anak gadisnya dalam mengharungi kehidupan remaja.

Tanpa disangka-sangka, kedatangan pelajar baru yang tampan bernama Shahrin di kelas Kaisara telah menimbulkan pelbagai konflik dan kejadian lucu. Hana dan Amy yang ternyata menaruh minat pada Shahrin bersaing sesama sendiri hingga membawa padah kepada mereka berdua. Namun, disebabkan sikap Kaisara yang tenang dan matang dalam banyak perkara, lama kelamaan, Shahrin mula menyukainya dan mereka berdua semakin akrab. Keadaan ini pastinya menimbulkan rasa tidak puas hati Amy, Hana dan Dania yang pada awalnya beria-ia cuba menarik perhatian Shahrin.

Haa...bagaimana agaknya kesudahan Kisah Kaisara kali ini? Kalau nak tahu, pastikan korang semua set 'remote', pastikan ianya TV9, setiap Rabu 9.30 malam!


Wednesday, June 24, 2009

Raya Screenings 2009!

Salam dan Hai Semua...

Selamat datang ke blog TV9, Di Hatiku! Dari kaca televisyen, ke alam siber, sehinggalah ke Facebook Group, Twitter dan Pacmee, kami sememangnya berusaha untuk berada dekat dengan hati penonton-penonton setia kami. Terima kasih yang tak terhingga di atas sokongan anda semua.

Kali ini TV9 mula beraksi di gelanggang blogging pula. Ha... Lepas ni rajin-rajinlah korang semua membaca blog TV9 ni, sebab ada macam-macam cerita yang kami nak kongsi bersama di sini berkaitan dengan TV9.

Sebagai pembuka blog, kami nak cerita pasal TV Raya Screenings yang dah pun berlangsung di Bandar Sunway, 17 Jun yang lepas. TV Raya Screenings merupakan suatu acara pra-tonton rancangan-rancangan yang bakal disiarkan sepanjang bulan Ramadhan dan Syawal 2009. Acara ini melibatkan semua stesen televisyen Media Prima: TV9, TV3, NTV7 dan 8TV. Rancangan-rancangan hebat ini akan bakal disiarkan bermula Ramadhan (Ogos) sehingga Syawal (September).

Khas untuk bulan Ramadhan Al-Mubarak, jangan lepaskan peluang untuk bersama TV3 dan TV9 yang pastinya tak akan mengecewakan anda dengan hidangan rancangan-rancangan hebat, antaranya dokumentari 'wajib' bulan Ramadhan Jejak Rasul - kini melangkah ke musim yang ke-15, Ar-Risaalah, Ayat-Ayat Cinta, Jelajah Ramadhan, dan Kalamullah. Tak lupa, dua rancangan yang mendapat sambutan sepanjang bulan Ramadhan tahun lepas, Shamsul@Bazaar Ramadhan, dan Singgah Sahur, serta Jom Berbuka.

Habis puasa, Raya pun tiba...

Media Prima pasti tak akan mengecewakan para penonton Raya ini kerana pelbagai filem pecah-panggung akan kami hidangkan untuk tontonan bersama! Sambil menyambut Syawal yang mulia bersama rakan dan taulan, jangan lupa menonton Duyung, Cicak Man 2, Sifu & Tongga, Evolusi KL Drift, Ceplos dan Baju Raya Istimewa, semuanya di TV3 dan TV9.

Lebih meriah, jom bergelak-ketawa dengan sitkom-sitkom dan rancangan khas Syawal seperti Dedikasi Raya, Sampaikan Raya, Kecoh Petang Raya, Bagus Sangat Ke?, Studio Nabil di Perth dan Suatu Hari di Hari Raya.

Tapi, dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, jangan pulak kita lupa pada mereka yang serba kekurangan. Tandakan kalendar anda dan tontoni rancangan-rancangan berbentuk majalah dan dokumentari yang tak kurang hebatnya dari TV3 dan TV9 yang pastinya memberi manfaat untuk Syawal anda. Antara yang kami maksudkan adalah Raya Terapung, Landasan Raya, Ketupat Rendang Kopi O dan banyak lagi.

Rancangan-rancangan yang kami sajikan ini sememangnya sesuai untuk tontonan anda sekeluarga kerana Media Prima merupakan penyiar terbaik untuk semua golongan masyarakat yang dahagakan informasi dan hiburan, tak kira lelaki atau wanita, tak lupa juga untuk adik-adik tersayang.

Ha... Dah tak terkata dah! Hebat betul rancangan-rancangan yang bakal kami sajikan untuk tontonan anda, terutama sekali dari kami TV9! Jangan lupa set remote TV anda dan teruskan menonton stesen kami Ramadhan dan Syawal ini! ;)